Khutbah Wida’ RasululLah s.a.w

Bersemperna musim haji yang bakal menjelang, rasanya elok kita menghayati kembali isi daripada Khutbah Wida’ Rasulullah s.a.w. Ini merupakan khutbah terakhir Rasulullah s.a.w. yang disampaikan pada 9 Zulhijjah Tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah, Gunung Arafah.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. (Semua manusia berasal dari Adam dan Hawa, tidak ada (bangsa) Arab yang lebih mulia dari (bangsa) bukan Arab atau (bangsa) bukan Arab lebih mulia dari (bangsa) Arab; juga tidak ada yang (berkulit) putih lebih mulia dari yang (berkulit) hitam atau yang (berkulit) hitam lebih mulia dari (berkulit) putih) Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.

Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur an dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMU kepada hamba-hambaMu.

Baginda s.a.w.berkhutbah di atas untanya al-Qaswah. Tidak lama selepas Khutbah ini disampaikan turun wahyu iaitu ayat 3 Surah al-Maidah :


“Pada hari ini, telah Aku sempurnakan bagimu Agamamu, dan telah aku cukupkan nikmatKu untukmu, dan Aku redha Islam menjadi agamamu”. (Al-Maidah-3)

Beberapa Kesilapan Dalam Berhijab..

Sedikit renungan dan buat wanita muslimah yang ingin memastikan penampilan dan fasyen yang dipakai dan digayakan setiap hari menepati tatacara fesyen Islam…

kesalahan-pakaian1

kesalahan-pakaian-21

kesalahan-pakaian-31

kesalahan-pakaian-41

kesalahan-pakaian-51

kesalahan-pakaian-61

Musim Haji 1429H

mekah-2

Salah satu cita-cita saya sekeluarga yang belum dikecapi ialah mengunjungi Haramain Syarifain (Tanah Suci Mekah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah) samaada untuk membuat umrah (ziarah) lebih-lebih lagi untuk menunaikankan Fardhu Haji.

Setiap kali kami sekeluarga berbincang tentang impian, maka impian menunaikan haji pasti akan disentuh. Tersentuh jiwa apabila mendengar ahli keluarga mahupun sahabat handai bakal berangkat ke Tanah Suci. Buku berkaitan tentang ibadah haji dan umrah seperti “Trevelog Haji” karya Prof. Muhd Kamil Ibrahim pasti menjadi satu bacaan yang sentisa diulang-ulang dan tidak membosankan.

madinah1Sering terbayang-bayang kami sekeluarga menjejak kaki di Masjidil Haram, solat di hadapan Kaabah, berdoa penuh khusyuk di Multazam, menjejak kaki di Mina dan Muzdalifah, melontar jamrah, tawaf mengelilingi kaabah, berlari-lari anak di antara bukit Safa dan Marwah semasa bersai, mengucup Hajar Aswad, menziarahi Maqam Rasulullah s.a.w., bersolat dan berdoa di Raudah as-Syarifah. Terasa nikmat yang tidak terhingga jika dapat melakukan ibadah di tempat yang suci lagi mulia ini.

Oleh itu, kami sekeluarga sentiasa berdoa agar kami juga dapat menjejak kaki ke Tanah Suci ini dan dijemput menjadi tetamu Allah taala untuk memenuhi impian ini. Tanpa izin dariNya, impian ini tidak mungkin tercapai.

Buat semua sahabat-sahabat yang bakal berangkat menunaikan Haji bagi tahun ini, sampaikan salam saya sekeluarga kepada baginda Rasulullah s.a.w dan para sahabat di sana. Doakan juga kesejahteraan kami di sini, moga mendapat Haji yang Mabrur bila pulang nanti… : )