Ulasan Buku: Tinjauan Ringkas Peri Ilmu Dan Pandangan Alam

Oleh Abdul Halim Abdul Karim

Buku yang padat dengan pencerahan konsep-konsep ilmu dan cara bagaimana seseorang Muslim seharusnya melihat dan berfikir tentang alam dan segala isi kandungannya termasuk dirinya sendiri sehingga bertafakkur akan keagunggan Sang Pencipta adalah buku yang jarang sekali ditemui. Penulisan cendikiawan ulung Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas ini terbukti suatu penulisan ibarat berlian yang berharga dan jarang ditemui. Buku ini memenuhi keperluan zaman ini memandangkan kecelaruan ditahap ilmu yang melanda pemikiran ummat Islam sejagat.

Buku bertajuk “Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam” ini diisi dengan bab-bab ilmiah yang perlu diselami para cendikiawan yang didorong kesedaran dan kewajiban pentingnya kita bertasawwurkan Islam. Falsafah Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas bertolak, berparadikmakan malah bertasawwurkan Islam yang sangat kaya dengan tradisi keilmuan dan berilhamkan ajaran-ajaran dan prinsip-prinsip Al-Qur’an dan sunnah RasululLah s.a.w. Maka tidak hairanlah penulis menjelaskan perihal tanzil Wahyu yang menekankan ketunggalan kebenaran Islam dan menghuraikan penyelewengan fahaman kesatuan dan kesamarataan agama yang pada masa ini dianjurkan penganut “Islam Liberal”. Penulis juga menyingkap kaitan bahasa dengan pandangan alam dan ilmu. Menurut penulis, “bahasa merupakan alat akal fikri yang sekaligus juga mempengaruhi pemikiran si penggunanya”. Maka penulis membentangkan penhujjahan jelas mengapa perlu pembetulan ditahap ma’na istilah-istilah kunci Islam. Menurut beliau, pengaruh sekularisme dan pembaratan ilmu telah mengakibatkan ramai Muslim, termasuk sesetengah para inteleknya tidak lagi memahami ma’na sebenar apa itu konsep-konsep seperti keadilan (‘adl) dan pendidikan (ta’dib). Penulis juga menjelaskan ma’na sebenar daripada sudut pandangan alam Islam, apa itu kemajuan sejati, apa itu akhlak dan apa itu kebahagiaan sebenar (sa’adah) yang melewati hal-hal keduniaan semata-mata.

Buku dalam bahasa Melayu ini ditulis dengan cara (style) penulis yang tersendiri, menggunakan tatabahasa dan kosa-kata yang lazim kita jumpa hanya dalam buku-buku falsafah. Bahasanya halus dan tinggi. Hakikat ini serta jalan susunan kekata yang menjela untuk mempersembahkan buah fikiran selengkap-lengkapnya mungkin dianggap payah untuk pembaca yang kurang menguasai bahasa Melayu dan yang tidak kenal genre falsafah. Meskipun begitu, membacanya terutamanya jika dibimbing seseorang yang berlatar-belakangkan ilmu kalam, tasawwuf dan falsafah Islam boleh membuka minda seseorang. Ini adalah kerana buku ini sarat dengan pendedahan asas-asas pemikiran Islam, penjelasan ma’na konsep-konsep mendasar agama Islam serta penghujjahan, dalil-dalil dan kesimpulan-kesimpulan yang jitu dan meyakinkan.

Yang menarik, buku ini menjelaskan apa itu pandangan alam menurut Islam. Pandangan alam atau istilah Inggerisnya, “worldview” sudah lama diperkatakan oleh para cendikiawan Barat mahupun Islam tetapi apakah itu pandangan alam yang dianjurkan Islam (Tasawwur Islam)? Menurut Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, pandangan alam menurut Islam bererti “pandangan zahir dan batin terhadap hakikat kewujudan dan kebenaran yang diperlihatkan pada nazar serta renungan akali peri kewujudan semesta dunia-akhirat; justeru kerana kewujudan semesta yang ditayangkan oleh Islam pada diri akali kita berdasarkan Wahyu”. Penta’rifan beliau jelas menekankan bahawa pandangan alam menurut Islam beradasarkan Wahyu yang dibawa oleh junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. dan merujuk bukan sahaja kepada “pandangan” mata kasar kita tetapi juga kepada mata-hati sekaligus memerlukan hati yang suci supaya dapat diperlihatkan oleh Allah s.w.t. tentang hakikat kewujudan sebenar. Jelas, Tasawwur Islam adalah suatu pandangan (ru’yah) yang sungguh menyeluruh dan meluas, iaitu mencakupi kewujudan bukan sahaja ditahap kemasyarakatan atau ehwal keduniaan kebendaan sahaja.

Dapatkah seseorang itu diajar untuk memahami “pandangan alam Islam”? Dalam pertemuan saya yang terkini dengan penulis, beliau menggambarkan bahawa kita tidak boleh mengajar pandangan alam menurut Islam dalam erti-kata “mengajar” yang lazim difahami. Benarlah ungkapan beliau kerana untuk siMuslim tidak memadai belajar apa itu pandangan alam menurut Islam sedangkan pandangan alam itu tidak diguna-pakai dalam kehidupan sehariannya mahupun dalam dia memikirkan tentang fenomena alam dan kemanusiaan. Memahami pandangan alam menurut Islam juga bersyaratkan pemahaman keilmuan Islam yang mendalam. Sia-sia sahajalah orang yang seperti burung kakak tua yang pandai hanya mengulangi kekata-kekata penta’rifan pandangan alam Islam yang diberi oleh Prof. Syed Naquib Al-Attas dalam bukunya ini sedangkan kehidupan dan cara berfikir sang yang berkata-kata itu sepi daripada unsur-unsur keIslaman yang dituntut oleh pandangan alam Islam itu sendiri.

Sudah tentu penta’rifan dan pemahaman apa itu ilmu sangat penting bagi kita. Tetapi buku ini bukan setakat menerangan tentang apa itu ilmu dari sudut Islam sahaja. Bahkan penulis melukiskan latar-belakang sejarah pemikiran manusia yang pada zaman ini dikuasai oleh pemikiran serta nilai-nilai Barat dan betapa unsur-unsur sekularisme dan materialisme yang digendung pembaratan telah mendorong manusia menggunakan ilmu seperti ilmu sains sebagai suatu alat yang sangat berbahaya. Sebaliknya jika dilihat daripada sudut pandangan alam Islam, ilmu sains sebenarnya ialah suatu cabang ilmu yang seharusnya mendatangkan manfaat dan bukan bahaya kepada alam dan sesama manusia.

Buku yang juga memperhalusi konsep adab sebagai tunggak sebenar pendidikan dalam Islam ternyata memestikan sipembaca juga membaca buku ini dengan tertib dan beradab; bukan seperti membaca bahan biasa untuk maklumat atau hiburan. Sebaliknya, “Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam” ialah buku ilmiah yang perlu dibaca, dianalisa, diamati dan direnung masak-masak sebagai pencetus jiwa Muslim untuk memahami dan mengguna-pakai pandangan alam Islam dalam menghadapi cabaran-cabaran mendatang dizaman serba canggih dan tidak menentu ini.

Abdul Halim Abdul Karim ialah seorang sarjana Falsafah Islam dan pendidik Tasawwur Islam

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: