Gagasan Agung : Puisi Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud

Gagasan Agung ini merupakan satu puisi hasil tulisan Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud., Mantan Timbalan Pengarah ISTAC dan kini Pensyarah Kanan ATMA, UKM. Puisi ini dipetik daripada Buku Puisi beliau, Dalam Terang. Puisi ini mentafsirkan tuntutan amanah yang di terima insan serta peranan ilmu dan akhlak dalam masyarakat

Gagasan Agung

Oleh : Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud

I

Setiap bangsa yang merangka gagasan agung
Berazam memahat nama dalam sejarah tamadun terulung
Akan membina universiti dan pusat pengajian tinggi
Dan menyebarkan fahamnya tentang kewujudan ini
Tentang makna kemanusiaan dan kebahagiaannya.
Tentang maksud kemajuan dan nilai-ukurnya:
Dengan segala hujjah yang tidak tersangkal
Oleh mereka yang berakal;
Dengan segala bukti
yang tidak tertolak para pengkaji;
Dengan segala berita
yang tidak terdusta.

Bangsa yang tidak bermimpi menjadi maju
Tapi sedar insaf matlamat kudus yang dituju
Akan melahir lapisan demi lapisan pemimpin
Dalam pelbagai bidang, sebanyak mungkin.

Gagasan tinggi dipacak kukuh di universiti
Dan institusi lain dalam negeri secara serasi, bertali
Agar matlamat suci menotai Perjanjian Azali
Tidak tinggal sebagai mimpi.

Mimpi menjadi maju sifat bangsa yang tidur lena
Enggan bangun dan menjulang martabatnya.

II
Negara maju sebenarnya kawanku bukan diukur:
Pada betapa panjangnya umur
Pada berapa keping ijazah dirangkul
Pada banyak pendapatan terkumpul.

Negara juga dianggap maju bukan:-
Panda bangunan gagah tinggi menombak awan
Pada lebuhraya raksasa menggelepar menikam gunung

Pada panggung, gelanggang hiburan, permainan agung.
Negara maju, baldah tayyibah tujuan orang beriman
Dipacak pada budi pekerti rakyat pelbagai lapisan
Tapi, bagaimana rakyat bisa berbudi tinggi
Jika pemimpin dalam kabinet dan keluarga, rendah pekerti?
Siapa yang mendidik, mengadab pemimpin bangsa
Jika tidak institusi pengajian tinggi mahkota pendidikan kita?

Universiti taman adabi medan penta’diban tertinggi insan
Jika dinodai, ucaplah selamat tinggal pada kemanusiaan
Dan selamat datang pada kehaiwanan
Yang paling cekap dan berkesan
Dalam sejarah makhluk Tuhan:-
Yang terbang lebih tinggi dari helang dan garuda
Menyelam lebih pantas dan dalam dari paus dan barakuda
Meracun lebih bisa dari kala jengking dan ular
Insan-haiwani latihan IPT mengatasi segala yang liar.

III
Di negara-negara mencengkam dunia berabad lama
Universiti puncak pemikiran tamadun mereka
Yang menyuluh pelbagai kefahaman zaman lalu
Yang membenihkan pelbagai pengetahuan zaman baru.

Pemimpin besar bangsa perkasa melihat jauh di ufuk sejarah
Mengukuhkan universiti tinggi, melahir pemikir penentu arah
Yang bebas menyampai kata, diiktiraf pelbagai anugerah
Lalu dunia memeluk mereka, jadi ukuran meningkat maruah.

Naib canselor dan dekan dipilih dari bangsa helang ilmi
Bukan dari bangsa pengurus, mulut terkunci depan menteri
Oxford, Leiden, Tokyo, Harvard, Sorbonne menjadi taman adabi
Walau mengkaji angkasa raya, sejarah sendiri diteliti ke akar umbi.

Walau kita berabad merdeka
Kepakaran agama dan sejarah kita digenggami mereka
Lampu dari Kaherah dan Madinah telah kehabisan zaitunnya
Pelita di Kuala Lumpur, menangin aku mengenang nasibnya.
Universiti umat di mana saja, kini dipenuhi semut mencari gula
Gedung ilmu menjadi tebu; gula, manisan merata.

IV
Gong dan gendang dipalu rentak ”ilmu harus diislamkan”
Bolehkan si buta mengajar melihat, si tempang lurus berjalan?
Mereka anggap ilmu seperti gula: menarik semut dan kerengga
Dan berfikir Islam seperti siyasah dan kegiatan iktisad
Lalu isi dan amal agama menjejaki dunia korporat.

Ilmu sebenar anugerah Tuhan pada diri ikhlas-berani
Ikhlas mengakui kejahilan diri, berani berguru kepada ahli
Ahli bukan yang mudah menuruti kehendak muridnya
Atau yang tunduk pada juhala memanas kerusi penguasa.

Sepanjang sejarah anbiya dan hukama semua bangsa
Guru murshid tegap berdiri, berani berkata, sederhana.

Murshid memimpin murid dan institusinya, seperti helang
Bukan memaksa terbang di paras rendah seperti puyuh, belalang.

Seorang Ibrahim disebut Allah sebagai Umat
Murshid pewaris Nabi memang wajar jadi penyelamat.

Pemalu rentak Islamisasi ilmu seperti penjual jamu
Yang tidak tahu bahan-bahan dan asal usul yang diramu
Yang tidak mencuba dengan sempurna jamu jajaan
Minatnya memalu gong dan menjaja jamu di pasaran
Di rumah, jamu diatur merata sebagai perhiasan
Anak-isteri terkeliru antara jamu dan jamu-jamuan!

Seorang pentadbir, salah seorang penjual jamu
Menganggap dir begitu pandai dan berilmu
Mengarahkan semua pensyarah membatal kuliah
Demi mera’i sang menteri yang memberinya anugerah
Mengarah menebang meranti berpuluh tahun umur
Konon cintakan kebersihan, tidak suka daunnya gugur!
Membelanjakan jutaan ringgit membeli bunga-bunga palsu
Yang mudah dipindahkan ke sana ke mari bersama pasu.
Bangga mananam pokok-pokok besi harga berjuta
Agar tidak dihinggapi burung, tupai dan serangga.

Sayang, jamu ramuan Alim Mukhlis dicuri ilmuwan tiruan
Diingat gula, bangsa semut datang berjuta mencari habuan
Pengislaman ilmu bertunjang pada mengenali sifat Tuhan
Berakar pada peningkatan akali-roh-akhlak bertiga segi
Kerana manisnya bukan seperti gula
Untungnya bukan pada peningkatan harta
Mulianya bukan pada pengiktirafan penguasa,
dan puji-pujian golongan massa.

Justeru itu jamu asli pengislaman ilmu, alam dan insan
Kini dianggap racun yang bakal memundurkan
Lalu dijauhkan mereka yang bergelar cendekiawan
Dan yang mengaku beriman
Disokong boneka di puncak kekuasaaan.

V
Universiti menyebar ilmu pancaran agama dan tamadun
Mengukuh hikmat leluhur agung turun temurun
Bukan menginsankan insan tujuan sebenarnya
Itu sekadar pencapaian sekelumit paling sederhana
Tapi mengakhlakkan insan dengan akhlak Tuhannya
Itulah matlamat tertinggi, makam terpuji bagi manusia.

Wahai ketua universiti dan semua warga di dalamnya:
Bangun dan hilangkanlah arang di wajah bangsa.
Semua anak helang di sangkarmu, lepaslah terbang
Yang cerah mata dan terang hatinya, pasti pulang
Bersenjatakan hikmah pemikir terbilang
Dan keberanian dan kepintaran para hulubalang

Advertisements

Musim Haji 1429H

mekah-2

Salah satu cita-cita saya sekeluarga yang belum dikecapi ialah mengunjungi Haramain Syarifain (Tanah Suci Mekah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah) samaada untuk membuat umrah (ziarah) lebih-lebih lagi untuk menunaikankan Fardhu Haji.

Setiap kali kami sekeluarga berbincang tentang impian, maka impian menunaikan haji pasti akan disentuh. Tersentuh jiwa apabila mendengar ahli keluarga mahupun sahabat handai bakal berangkat ke Tanah Suci. Buku berkaitan tentang ibadah haji dan umrah seperti “Trevelog Haji” karya Prof. Muhd Kamil Ibrahim pasti menjadi satu bacaan yang sentisa diulang-ulang dan tidak membosankan.

madinah1Sering terbayang-bayang kami sekeluarga menjejak kaki di Masjidil Haram, solat di hadapan Kaabah, berdoa penuh khusyuk di Multazam, menjejak kaki di Mina dan Muzdalifah, melontar jamrah, tawaf mengelilingi kaabah, berlari-lari anak di antara bukit Safa dan Marwah semasa bersai, mengucup Hajar Aswad, menziarahi Maqam Rasulullah s.a.w., bersolat dan berdoa di Raudah as-Syarifah. Terasa nikmat yang tidak terhingga jika dapat melakukan ibadah di tempat yang suci lagi mulia ini.

Oleh itu, kami sekeluarga sentiasa berdoa agar kami juga dapat menjejak kaki ke Tanah Suci ini dan dijemput menjadi tetamu Allah taala untuk memenuhi impian ini. Tanpa izin dariNya, impian ini tidak mungkin tercapai.

Buat semua sahabat-sahabat yang bakal berangkat menunaikan Haji bagi tahun ini, sampaikan salam saya sekeluarga kepada baginda Rasulullah s.a.w dan para sahabat di sana. Doakan juga kesejahteraan kami di sini, moga mendapat Haji yang Mabrur bila pulang nanti… : )

It’s My Birthday Today!!!

Hari ini hari istimewa buat diriku. Ia satu tarikh ulang tahun kelahiran saya ke dunia fana ini. Hari yang menginsafkan diri bahawa betapa sukarnya ibu melahirkan diri ini ke dunia. Satu tarikh penanda aras kehidupan bahawa diriku sudah semakin tua (walaupun hati masih muda, hehehe..). 

Selamat Hari Lahir buat diriku dan orang-orang yang menyambut pada tarikh yang sama dengan diriku. Hrmm..sudah semakin tua diri ini rupanya.

p/s : Terima kasih buat keluarga (especially to my beautiful wife and my very adorable daughter) dan rakan-rakan yang mengirim ucapan, tidak kira secara lisan, e-mail, frienster dan juga sms. Thank’s 🙂