Dr Asri ditahan Polis !!!


DR MOHD ASRI dibawa untuk siasatan selepas ditahan di sebuah banglo di Taman Sri Ukay, Hulu Klang, malam tadi.

Bekas Mufti Perlis didakwa mengajar tanpa tauliah

KUALA LUMPUR: Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tengah malam tadi kerana disyaki mengajar tanpa tauliah.

Beliau ditahan di sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Klang ketika memberikan ceramah kepada lebih 100 pengikut.

Apabila pasukan Jais memasuki premis berkenaan sekumpulan lelaki cuba menghalang anggota penguat kuasa menahannya.

Turut berada dalam banglo berkenaan ialah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Klang, Saari Sungib yang turut mempertikaikan kesahihan tindakan Jais untuk menahan Dr Mohd Asri.

Anggota Jais dikatakan memasuki banglo berkenaan kira-kira jam 9 malam dan kelihatan membawa Dr Mohd Asri keluar pada jam 12.10 ke Balai Polis Hulu Klang.

Polis yang memantau operasi turut berdepan masalah kerana tidak mempunyai waran tangkap dan hanya menjadi perantara bagi urusan membawa Dr Mohd Asri dan beberapa pengikutnya ke balai polis untuk diambil keterangan.

Turut mengiringi beliau ke balai polis ialah Zuraida, Saari dan beberapa pengikutnya menaiki kenderaan Jais.

Menurut sumber, Jais menyiasat kegiatan Dr Mohd Asri sejak beberapa bulan lalu kerana dipercayai cuba menghidupkan fahaman yang berlawanan dengan amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam kelompok tertentu, terutama kumpulan elit dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sejak beberapa tahun kebelakangan ini di sekitar Selangor.

Sebelum ini beliau dikaitkan dengan fahaman Wahabi. Fahaman itu diperkenalkan Muhammad bin Abdul Wahab pada abad ke-18 di Semenanjung Arab. Muhammad dilahirkan pada 1703 di Najd.

Antara ajaran Wahabi ialah menolak doa qunut, amalan membaca Yasin, bertahlil di kuburan dan zikir selepas sembahyang yang menjadi amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Ajaran itu dikatakan menimbulkan keraguan serta kontroversi sehingga menyebabkan ia dikatakan punca perpecahan umat Islam di negara ini.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jawatankuasa Penyelarasan Penyelidikan Islam Kebangsaan (Jappis) dan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan difahamkan menolak serta menyekat ajaran itu disebarkan di negara ini.

Ia tidak bersesuaian dengan pendekatan Islam di negara ini dan dikhuatiri akan menggugat perpaduan umat.

Sumber : Berita Harian

 

Salam Kemerdekaan ke-52

1_malaysiaTema sambutan Hari Kebangsaan ke 52 adalah ” 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Tiada perarakan besar-besaran seperti kereta berhias, kereta kebal atau kenderaan lain seperti sebelum ini.

Digantikan dengan sambutan berunsurkan elemen kemanusian yang menggambarkan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Tiada sambutan ambang kemerdekaan bermakna tiada pertunjukan bunga api bagi menghormati bulan Ramadhan.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-52. Merdeka! Merdeka! Merdeka!

MERDEKA!!

Hari ini ulang tahun kemerdekaan ke 51 bagi negaraku, MALAYSIA. Tema hari kemerdekaan bagi tahun 2008 ialah Perpaduan Teras Kejayaan.

Rekabentuk logo ini diilhamkan dari ikatan 3 figura yang saling berganding bahu menunjukkan perpaduan erat melambangkan ”Perpaduan Teras Kejayaan”.

3 ikatan figura manusia saling berganding bahu menunjukkan rakyat yang bekerjasama di antara satu sama lain dalam menjaga keamanan dan memajukan negara.

3 rupa bentuk manusia digayakan bergandingan bahu adalah mewakili kaum-kaum di Malaysia yang bersefahaman bagi menunjukkan mereka telah mencapai kejayaan dalam perpaduan.

Warna merah simbol keberanian rakyat. Putih simbol kesetiaan keseluruhan rakyat Malaysia. Warna biru melambangkan perpaduan yang dijalinkan oleh kaum-kaum di Malaysia. Manakala warna kuning pula melambangkan Sistem Beraja dan Yang di-Pertuan Agong. Ianya juga membawa maksud warna kegemilangan/keemasan yang dikecapi oleh rakyat Malaysia.

Salam Merdeka. Dalam ghairah memperingati peristiwa bersejarah ini, jangan lupa menyambut bulan Ramadhan yang kian hampir… ; )

Kerusi Parlimen Permatang Pauh Milik Siapa?

Pertembungan kerusi panas Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang bermula. Hari ini merupakan hari penamaan calon. Seperti yang diistiharkan oleh SPR, pilihanraya kecil ini akan diadakan pada 26 Ogos ini.

Seperti yang sedia maklum, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Penasihat Parti Keadilan Rakyat akan bertanding di kawasan ini. Jika dilihat dalam rekod, kawasan ini sememangnya kawasan kubu kuat bagi Parti Keadilan. Ini kerana dalam 3 Pilihan raya Umum (1999, 2004 dan 2008), Parti Keadilan telah memenagi kerusi Parlimen ini melalui Datin Seri Wan Azizah Ismail. Pilihan Raya kecil ini diadakan berikutan pengosongan kerusi ini oleh penyandang kerusi ini (Datin Seri Wan Azizah) untuk memberi laluan kepada suaminya Dato’ Seri Anwar bertanding.

Mungkin ramai yang lupa bahawa 26 tahun yang lalu, kerusi kawasan ini dipegang oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebelum dipecat daripada UMNO pada tahun 1998. Ni kira umpama sireh pulang ke gagang.

Pihak Umno-BN mencalonkan Datuk Ariff Shah Omar Shah (ADUN Seberang Jaya) bagi menggalas tugas untuk merebut kembali kerusi ini. Ini diistihar sendiri oleh TPM, Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Untuk informasi, seramai 58,459 pemilih berdaftar di kawasan Parlimen P44 Permatang Pauh dengan pecahan terdiri daripada 68.5 peratus Melayu, 24.79 peratus Cina , 6.3 peratus India dan 0.41 bangsa lain.

Siapa yang bakal menduduki kerusi panas ini? Kita tunggu 26 Ogos ini…

UPDATE :

Tepat Jam 11.45 pagi tadi Pengurus Pilihanraya Kecil P44 Permatang Pauh, Roslan Yahya telah mengumumkan tiga calon yang layak bertanding dalam Pilihanraya Kecil ini.

Calon KeADILan/Pakatan Rakyat – Datuk Seri Anwar Ibrahim

Calon Umno/BN – Datuk Arif Shah Omar Shah

Calon AKIM – Hanafi Mamat

Seorang lagi calon yang turut mengemukakan borang pencalonan pagi tadi, Dr Mansor Othman telah menarik diri.

KEPUTUSAN PILIHAN RAYA KECIL PARLIMEN PERMATANG PAUH (26.08.2008)

Keputusan rasmi diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahaya di pusat penjumlahan undi di Dewan Aminuddin Baki, Institut Perguruan Tuanku Bainun, pada jam 10.05 malam tadi.

Seramai 47,356 atau 81 peratus daripada 58,459 pemilih mengundi pada pilihan raya kecil ini.

Dua Pesta Buku Terkini

Bagi seorang yang suka membaca buku, pengemar dan pencinta ilmu, Pesta Buku pasti tempat yang ‘WAJIB’ dikunjungi. Setelah tamat Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, kini ada dua Pesta Buku yang menarik untuk dikunjungi.

1) PESTA BUKU SELANGOR

Tarikh : 25 Julai hingga 3 Ogos 2008

Tempat : Kompleks PKNS, Shah Alam

Rujuk : http://www.pestabukuselangor.com

2) PESTA BUKU MALAYSIA 2008

Tarikh : 31 Julai hingga 3 Ogos 2008

Tempat : PWTC

Rujuk : http://www.pestabukumalaysia.com

Pelbagai acara dan tawaran yang menarik sepanjang dua pesta buku ini. Kunjungilah sambil menambah ilmu dengan banyak membaca. Jangan lupa, bawa keluarga dan anak-anak..

Debat Anwar-Shabery Cheek : Hari Ini Bentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak

Akhirnya debat yang ditunggu-tunggu oleh semua rakyat Malaysia telah berjalan lancar semalam. Debat yang melibatkan dua pemimpin yang mewakili pimpinan kerajaan dan wakil pimpinan pembangkang. Peminpin yang dimaksudkan Dato’ Ahmad Shabery Cheek (Menteri Penerangan Malaysia) dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim (Penasihat Parti Keadilan Rakyat). Dianjurkan oleh Agenda Daily, debat bertajuk Hari Ini Bentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak’, diadakan pada di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Debat ini amat istimewa. Ia diadakan ala debat pemilihan Presiden Amerika. Dipengerusikan oleh Datuk Johan Jaafar, secara keseluruhannya ia dijalankan sebanyak 5 pusingan. Lebih menarik lagi, soalan yang diajukan bukan sahaja dari pengerusi majlis sahaja, malah ia turut melibat wakil pedebat. Wakil pihak Dato’ Ahmad Shaberyi ialah Tan Sri Prof. Dr. Nordin Kardi, Naib Censelor Universiti Utara Malaysia (UUM) manakala Encik Zulkifli Sulung (Pengarang Eksekutif Akhbar Siasah) mewakili pihak Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Syukur al-hamdulillah, walaupun hanya 200 orang dibenarkan hadir majlis debat ini (50 orang jemputan dari pihak Dato’ Ahmad Shabery Cheek, 50 orang jemputan dari pihak Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan bakinya jemputan pihak penganjur) dan tidak dibenarkan berkumpul di depan DBP (atas faktor keselamatan), Debat ini dapat disaksikan oleh rakyat seluruh negara kerana ia dipancarkan secara lansung di kaca TV.

Siapa yang menang dalam debat ini? Itu bukan persoalan yang penting. Yang paling penting rakyat dapat menilai isu kenaikan minyak ini secara rasional, tidak hanya mendengar dari sebelah pihak sahaja. Kesimpulan yang penting dari debat ini, pihak kerajaan mempertahankan tindakan menaikkan harga minyak dari RM1.92 ke RM 2.70 sebagai satu tindakan yang terpaksa dilakukan atas faktor kenaikan harga minyak dunia, manakala Dato’ Seri Anwar membentangkan gagasan dan mekanisma yang boleh dilakukan untuk meredakan beban rakyat iaitu menurunkan harga minyak pada esok harinya jika pihak pembangkang mengambil tampuk pemerintahan. (Lihat ulasan menarik daripada Haji Shamsudin Othman ).

Bagi yang tidak dapat menyaksikan debat bersejarah ini, lihat bingkisan ini.

Bahagian 1

Bahagian 2

Bahagian 3

Bahagian 4

Bahagian 5

Di Sebalik Fenomena Harga Minyak Naik..

BEZA KUANTITI BAGI SETIAP RINGGIT… Azhan Sharom, 23, yang ditemui di Jalan Batu Buruk, Kuala Terengganu, Terengganu menunjukkan botol berisi minyak bagi setiap ringgit yang dibelanjakan. Kuantiti botol kiri berdasarkan harga lama manakala yang kanan pula jika mengikut harga baru, berkuat kuasa tengah malam tadi.   (Ihsan mSTAR)

Tepat jam 12.00 malam bertarikh 5 Jun 2008, harga minyak di seluruh Malaysia dinaikkan dari RM 1.92 seliter ke RM 2.70 seliter kenaikan sebanyak 40% atau RM 0.78). Ketika pengumuman kenaikan harga minyak ini diumumkan oleh PM (lihat ini), saya berada di Ipoh. Pada ketika itu saya sibuk bersama keluarga.

Maka bermulakah satu drama yang menarik di semua stesen minyak. Bagai satu pesta, orang ramai berpusu-pusu ke stesen minyak. Tujuannya hanya satu, ‘memenuhkan tangki minyak mengikut harga lama‘. Pada ketika ini bukan hanya Petronas sahaja yang penuh bersesak-sesak melayan pemandu, stesen minyak lain juga menghadapi senario yang sama. Pemandu pula tidak hanya orang Melayu, orang Cina dan India pun sama. Stesen minyak penuh sesak dengan kereta, motorsikal malah lori pun sama. Jalan-jalan yang sebelum ini lengang jadi jem sehingga berkilo-kilometer. Ini hanya sebab beratur menunggu giliran mengisi minyak.

Mungkin benar kata Ustaz Zaharuddin, “Di Malaysia kita ini, sebenarnya banyak isu selain kenaikan harga, kita ada isu murtad, riba, syirik, bomoh, tangkal, zina, maksiat, culik, sumbang mahram dan pelbagai lagi. Namun dalam banyak-banyak isu, isu kenaikan harga beras dan minyak ini paling meriah sambutannya dari masyarakat” (Ulasan Ustaz Zaharudin mengenai isu ini, sila klik ini)

Saya tidak rasa orang ramai gembira dengan pengumuman ini (lihat komen Datuk Ahmad A Talib dan Penarik Beca). Saya sependapat dengan orang ramai, kenaikan ini amat mendadak. Ditambah lagi dengan kenaikan takrif elektrik mulai bulan Julai nanti pasti akan membebankan pengguna sekaligus orang ramai yang berpendapatan sederhana dan rendah.

Bahang akibat kenaikan harga minyak ini mula terasa. Sudah pasti akan berlaku kenaikan harga barang, tambang bas, dan lain-lain. Bagi yang berpendapatan lebih mula memasang engin NGV sebab harga NGV kekal. Cadangan agar orang ramai menggunakan pengangkuan awam bukan jalan penyelesaian mutlak bagi mengantikan penggunaan motor dan kereta. Ini kerana Kereta dab motorsikal dah jadi satu keperluan hidup masa kini.  

Lebih mengejutkan bila melihat fakta harga minyak dunia dari blog ini :

Walaupun apapun yang bakal berlaku akibat kenaikan harga minyak ini, hidup perlu diteruskan. Gaya hidup ahli rumah perlu berubah kepada lebih lebih dan lebih sederhana. Yang pasti jumlah gaji tidak seberapa yang diterima  setiap bulan ini terpaksa dicatu lagi. Hrmmm, memang gawat…

p/s : Nasihat Irfan Khairi dalam isu ini ada benarnya..